Penjajahan Celcom

Badai teruk telah melanda kami di Celcom. Berita mengenai penggabungan antara Telenor dan Axiata, dan juga pada masa yang sama, sebagai hasil penggabungan ini, Digi akan menyerap Celcom, telah menghebohkan semua warga Celcom, dari Perlis hingga ke Sabah.

Soalan lazimnya hanya dua, kenapakah kita perlu tunduk kepada kuasa penjajah ini dan apakah akan terjadi kepada periuk nasi kami.

Kami ingin bertanya kepada YBhg Tan Sri Jamaludin, kenapakah terasa seperti ia amat penting untuk penggabungan ini untuk berlaku. Semasa sesi bersama kami di Celcom, beberapa frasa yang sering digunakan adalah “merger of equals” (penggabungan setaraf), “position of strength” (dari kedudukan kekuatan), “need this to save the company” (diperlukan untuk selamatkan syarikat”) yang semata mata ayat/perkataan yang kosong, dan maaf kerana penggunaan kesat, bullshit.

Tidak dinafikan, Celcom memang berada pada tahap yang tidak selesa. Sebagai seorang rakyat Malaysia, kami malu apabila sebuah syarikat luar menjadi jaguh di gelanggang sendiri. Namun, bukankah sebab utama ini berlaku adalah salah langkah dan kesilapan strategik dari pihak pengurusan? Sewaktu bos Datuk Shazalli, Celcom adalah jaguh yang disegani. Sejak beliau disuruh berundur dan ditukar ke seorang CEO yang tidak memahami budaya mahupun bahasa, dan sekarang seorang CEO yang lebih mementingkan kebolehan bermain gitar, pangkat dan mengubahsuai pejabat supaya ada tandas peribadi daripada memimpin syarikat, memang tidak susah untuk memahami mengapa prestasi Celcom jatuh mendadak. Keputusan Q1 2019 yang baru dikeluarkan juga menyatakan pendapatan Celcom jatuh merudum lebih 7% pada Q1. Kalau ini berterusan, dan 7 drab 4, adakah Celcom akan rugi lebih 28% tahun ini?

Bukankah silap dan kebertanggungjawapan ini terletak pada pihak pengurusan? Sebagai kapten kapal, Pengerusi, CEO, ahli pengarah dan juga pengurusan perlu bertanggungjawab. Sebaliknya, mereka dibayar bonus besar, gaji besar dan mangsa yang sebenarnya adalah kami dibawah. Nak save the company Tan Sri? Nampaknya ini lebih kepada Save Yourselves, dan mungkin juga, abandon ship.

Adakah pemikiran abandon ship ini juga sebab Axiata setuju menjadi pemegang saham minoriti (43.5%) dan Celcom ditelan oleh Digi? Pada townhall lalu, kami telah mendengar sebab sebab teknikal – aset axiata lebih kecil, Digi telah disenaraikan di bursa dll, tetapi perlukah ini berlaku? Mungkin cara ini adalah sebuah solusi masalah pengurusan, tetapi adakah ia solusi terbaik? Di manakah position of strength kita? Kenapa bukan Axiata-Celcom yang memegang majoriti?

Kami di Celcom telah berkhidmat lebih dari 15 tahun dan ramai yang lebih tahun berkhidmat. Digi merupakan pesaing kami – manakah nak diletakkan air muka kami bila perlu masuk ke Digi, dan menjadi pendatang atau rakyat kelas ke-dua jikalau “pernikahan” ini menjadi sah? Di manakah letaknya maruah kita, di manakah letaknya air muka kita bila perlu tunduk kepada bos bos dari Norway? Ini adalah penjajahan alaf baru. Lucu memikirkan yang Norway tidak ingin membeli produk kelapa sawit Malaysia, jadi kita jual saja lah aset GLC kepada mereka! Takkan terdesak sampai nak buat biznes sampai sebegini? Selepas ini apa lagi yang akan terjual, maruah? Hak bumiputera? Kedaulatan Negara? Malah, di AGM Telenor di Oslo tempoh hari, pihak Telenor sudah menyatakan bahawa mereka akan menguasai sepenuhnya Celcom dan Axiata! Dimanakah kedaulatan Celcom Axiata selepas ini?

Perlu diingat, bakal pemilik dan bos kami yang baru adalah dari puak viking. Dan pada hemat kami, keluarga Thor ini adalah jenis yang tidak mengambil banduan, dan tiada tolak ansur dalam hal hal peperangan. Dan tanpa syak wasangka, merger ini memanglah peperangan untuk maruah, bangsa dan periuk nasi kami. Untuk memparafrasakan sebuah peribahasa Inggris, berhati hati lah dengan orang asing yang datang membawa buah tangan (Beware the greeks bearing gifts).

Saya harap YBhg Tan Sri dapat tidur malam dengan selesa, kerana kami bukannya seperti bos bos diatas sana, di mana potongan LHDN sebulan untuk YBhg Tan Sri dan rakan rakan mungkin lebih dari potongan kami untuk setahun.

Kami berharap bos bos di Axiata dan Celcom memahami, kami tidak pernah letih dan lelah menjalankan amanah. Kenapakah perlu menjual kami seperti lembu pada Aidilfitri yang akan datang? Tiada siapa yang dapat membantu kami, dan kita akan ditinggalkan dalam jajahan ini.

Kita saksikan apa lagi cerita yang akan keluar pada townhall akan datang.